Tuesday, 27 September 2011

Skrol Laut Mati..??


Skrol Laut Mati 
Skrol dan cebisan skrol yang dijumpai semula di sekitaran lembah Qamran (dekat Laut Mati) merupakan sebuah koleksi dokumen-dokumen Yahudi yang panjang lebar, sebuah
“perpustakaan” yang sebenar-benarnya, bertarikh daripada kurun 3 SM sehingga 68 Masihi.  Tidak dapat dipersoalkan, “perpustakaan” ini, yang merupakan penemuan manuskrip yang paling besar bagi kurun ke dua puluh, memaparkan kegiatan kesusasteraan Second Temple Period Jewery (kumpulan Yahudi) yang kaya dan memberi gambaran tentang kurun-kurun yang penting bagi agama Yahudi dan Kristian.  Perpustakaan ini mengandungi bahan-bahan dalam salinan yang besar jumlahnya, sedangkan bahan yang lain merupakan cebisan daripada manuskrip kulit.  Terdapat puluhan ribu cebisan skrol yang mengandungi hampir seribu esei yang ditulis dalam tiga bahasa yang berbeza: Ibrani, Aramaic dan Yunani. 
Kategori utama yang terdapat pada Skrol Laut Mati ini adalah: 
  • Cerita yang berkaitan dengan Bible
  • Bahan-bahan yang terdapat dalam kitab Hebrew Bible.  Kesemua buku dalam kitab terdapat dalam koleksi Skrol Laut Mati ini kecuali buku Esther. 
  • Cerita yang kebenarannya diragui 
  • Bahan-bahan yang tidak dimasukkan dalam pelbagai kanon-kanon Bible dan yang disertakan dalam kanon-kanon yang lain. 
  • Sektarian
  • Yang berkaitan dengan sebuah kumpulan yang warak dan termasuk ordinan-ordinan, ulasan-ulasan berkaitan dengan Bible, visi-visi yang memberikan ramalan, dan karya-karya yang berkaitan dengan agama Kristian. 



Penemuan 
Pada tahun 1947, sekumpulan gembala Badwi, semasa mencari seekor kambing di Padang Pasir Judean, memasuki sebuah gua yang telah lama tidak terusik di pesisir Laut Mati, dan menemui balang-balang berisi skrol-skrol usang.  Penemuan awal oleh gembala Badwi ini menghasilkan tujuh skrol dan memulakan suatu pencarian yang berlanjutan hampir se dekad yang akhirnya menemukan beribu-ribu cebisan skrol dari 11 buah gua.  Skrol-skrol ini segera dikenal pasti sebagai hasil karya sebuah sekta yang sangat warak dalam masyarakat Yahudi yang hidup berkurun-kurun sebelum kelahiran Nabi Isa
(a.s).  Hershel Shanks dalam bukunya ‘Memahami Skrol Laut Mati’ (Understanding The Dead Sea Scrolls) berkata: 
“Begitulah penemuan Skrol Laut Mati, manuskrip-manuskrip yang berusia seribu tahun lebih tua daripada teks kitab Hebrew Bible yang paling tua, manuskrip-manuskrip yang kebanyakannya ditulis seratus tahun sebelum kelahiran Nabi Isa dan salah satu daripada manuskrip yang mungkin telah ditulis sekurang-kurangnya tiga ratus tahun sebelum perjalanan Maryam dan Yusuf ke BaitulHam”. 
(Memahami Skrol Laut Mati, Herbel Shanks, muka surat 7-8) 
Satu usaha tergesa-gesa segera dijalankan di gua-gua lain di daerah tersebut bagi mencari skrol-skrol purba yang lain.  Satu kumpulan kecil sarjana “antarabangsa” di Israel telah diberi hak ekslusif untuk melihat skrol-skrol ini dan bahagian dunia yang lain telah ditegah daripada berbuat demikian 
Prof Eisenman mendapati bahawa salah satu penghalang utama bagi penerbitan skrol-skrol ini ialah “kumpulan tersebut tidak begitu bertaraf “antarabangsa”.  Prof Robert Eisenman adalah salah seorang yang memainkan peranan utama dalam drama ini, di mana skrol-skrol ini akhirnya dikeluarkan. 

Dalam bukunya ‘Penemuan Skrol Laut Mati’, kita membaca: 
“Pada musim bunga tahun 1986, di akhir penginapannya di BaitulMuqaddis, Profesor Eisenman bersama dengan sarjana Inggeris Philip Davies dari Universiti Sheffield, pergi berjumpa salah seorang daripada pegawai Israel yang bertanggungjawab ke atas perkara ini – seorang pengantara bagi pihak Jabatan (sekarang dikenali sebagi ‘Penguasa’) Kepurbaan dan Kumpulan Antarabangsa dan Kurator Skrol di Muzium Israel.  Mereka diberitahu tanpa ragu-ragu bahawa ‘Anda tidak akan melihat Skrol-Skrol ini sepanjang hayat anda’”
Kata-kata ini mendorong mereka supaya bertindak, dan satu usaha besar-besaran dilancarkan.  Lima tahun kemudian, menerusi suatu publisiti media yang mendadak, mereka mendapat peluang melihat skrol tersebut. 
Prof Eisenman akhirnya menerima 1800 keping gambar skrol-skrol yang belum diterbitkan sebelumnya.  Buku itu selanjutnya menerangkan bagaimana “Eisenman sedang menyiapkan Edisi Faksimili bagi semua gambar-gambar yang belum disiarkan.  Ini dijadualkan pada musim bunga yang berikutnya menerusi E J Brill di Leiden, Holland.  Namun, sepuluh hari sebelum penerbitan yang dijadualkan pada April 1991, selepas tekanan dikenakan oleh Kumpulan Antarabangsa, pihak penerbit menarik diri tanpa sebab, dan Hershel Shanks (pengarang ‘Bibilical Archiology Review’) dan Persatuan Biblical Archeology, mengambil alih tugas tersebut.”  Akhirnya, pada September 1991, arkib dibuka secara rasmi dan dua bulan kemudiannya, Edisi Faksimili dalam dua jilid diterbitkan. 
Kita telah pun membaca kata-kata Encik Tom Harpur di permulaan bukunya:
“Perkembangan yang paling penting sejak 1986 dalam hal ini ialah penemuan tajuk “Anak Tuhan” dalam salah satu manuskrip Qumran ini, yang digunakan berhubung dengan seorang
selain Nabi Isa… ini memperkukuhkan hujah yang dibuat bahawa dengan dinamakan Anak Tuhan dalam sekitaran Yahudi dalam kurun yang pertama adalah sesuatu yang tidak serupa dengan Tuhan Sendiri.” ‘For Christ’s Sake’, muka surat xii. 



Mengapa tidak kita pelajari skrol-skrol ini dengan lebih lanjut lagi dan lihat apa lagi yang dapat kita pelajari?  Skrol Laut Mati ini mengandungi cebisan-cebisan manuskrip.  Namun di antara manuskrip yang paling menarik ialah teks Pesher.  Teks Pesher adalah terjemahan puisi-puisi yang berkaitan dengan Bible yang dikumpulkan oleh orang-orang yang berpengetahuan di kalangan orang Yahudi. 
Dasar bagi kesemua teks ini ialah tanggapan bahawa sejarah ditakdirkan oleh Tuhan.  Dalam lain perkataan, Tuhan tidak terbatas untuk melihat kepada perkara-perkara sebagai sesuatu yang berlaku pada ‘masa lalu’, ‘sekarang’, atau ‘akan datang’, sebaliknya semua waktu adalah sesuatu yang terbuka kepada Tuhan.  Ini adalah teras bagaimana para rasul menerima “ramalan” kerana Tuhan “melihat” akan masa depan.  Maka, mengingatkan bahawa kita selanjutnya menukil dari teks-teks yang telah disalin kira-kira 100 tahun atau lebih sebelum kedatangan Nabi Isa (a.s), dan tarikh ini disahkan oleh penganalisis kesusasteraan, dan para penulisnya adalah sebuah kumpulan orang Yahudi yang sangat warak, mari kita lihat apa yang mereka katakan: 
Mereka yang telah mengkaji skrol-skrol ini mendapati satu tema yang sama yang begitu meluas dalam manuskrip-manuskrip tersebut, yaitu, kebanyakan daripada teks pesher ini meramalkan kedatangan seorang “Guru Pembawa Kebenaran” yang akan diutus oleh Tuhan kepada kaum Yahudi.  “Guru Pembawa Kebenaraan” ini akan ditentang oleh “Guru Pendusta” dan “Paderi Zalim”. 
Skrol-skrol ini juga meramalkan kedatangan dua orang ‘messiah’.  Dua orang ‘messiah’ ini dirujuk sebagai

1) seorang messiah bersifat keagamaan dan

2) seorang messiah duniawi. 

Dalam buku ‘Penemuan Skrol Laut Mati’ (The Dead Sea Scrolls Uncovered) oleh Robert Eisenman dan Michael Wise, kita membaca bahawa skrol yang awal menyebut tentang dua ‘messiah’, tetapi kemudiannya, orang Yahudi mula menggabungkan kedua-duanya menjadi satu: 
“Seperti yang telah kami cadangkan, bertentangan dengan teori terkenal ‘dua messiah’ oleh sarjana Qumran yang terdahulu, rujukan-rujukan mengenai ‘Messiah Aaron dan Israel’ dalam Dokumen Damsyik adalah singular dan bukan jamak… dan satu penjelasan yang munasabah baginya ialah ia menimbulkan seorang ‘Messiah’ yang mempunyai sifat keagamaan dan kepimpinan, serupa dengan cerita-cerita orang Ibrani.” (Penemuan Skrol Laut Mati, Robert Eisenman dan Michael Wise, muka surat 162). 
“Menurut pandangan paling berpengaruh dalam teks sektarian dari Qamran, dua orang ‘Messiah’ ini akan mengetuai para jemaah pada Hari-Hari Akhir, seorang seperti paderi dan seorang lagi yang bukan paderi.” (Menuntut Kembali Skrol Laut Mati, Lawrence H Schiffman, muka surat 321-322). 
Orang Yahudi mempunyai ramalan tentang dua orang ‘messiah’.  Yang pertama dikenali oleh mereka kerana tugas-tugasnya yang “bersifat keagamaan”.  Yang kedua dikenali oleh mereka kerana tugas-tugasnya yang “bersifat kepimpinan”; beliau membawa satu era keamanan



Kedua-dua ramalan ini merujuk kepada Nabi Isa (a.s) dan Nabi Muhammad (s.a.w). 

Nabi Isa (a.s) sangat dikenali kerana tugas-tugas keagamaannya.  Tetapi, beliau tidak pernah mengetuai sebuah tentera dan beliau tidak pernah menubuhkan sebuah pemerintah.  Sebaliknya, beliau menyeru kepada keamanan dan penyerahan dan membiarkan pemerintahan kepada yang lain (Matthew 22:21). Beliau memberitahu pengikutnya bahawa masih terdapat banyak perkara untuk diajarkan kepada mereka tetapi mereka belum dapat menanggungnya dan bahawa ada seorang lagi yang akan datang selepas beliau yang akan mengajar mereka tentang kebenaran (Yohanes 16:7-14). 

Nabi Muhammad (s.a.w) juga memulakan pemerintahannya dengan menyeru kepada penyerahan (kepada Allah).  Pemerintahannya dipelihara oleh Tuhan yang Maha Berkuasa sehingga ia dapat mempertahankan dirinya sendiri, mewujudkan keadilan di dunia dan menghapus kezaliman.  Para pengikut beliau berjuang dalam beberapa peperangan untuk mempertahankan diri dan menentang ketidakadilan.  Empayar Islam akhirnya menjengkau dari negeri Cina hingga ke Sepanyol dan mereka yang tidak menjadi pengikut Nabi Muhammad (s.a.w) juga tahu akan beliau.  Tetapi, apakah yang mereka tahu tentang beliau?  Mereka mengenalinya kerana kepimpinannya dan bukan kerana aspek ‘keagamaannya’ yang diketahui para pengikut beliau. 
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah.  Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” 
--Al-Qur’an, Al Baqarah(2):193  Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami turunkan Kitab itu mengenali Nabi Muhammad s.a.w (dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri.  Dan sesungguhnya, sebahagian daripada mereka menyembunyikan kebenaran itu sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). --Al-Qur’an, al Baqarah(2):146 
Selang beberapa waktu, ramalan-ramalan orang Yahudi ini mula menjadi sedikit kabur, dan ini, beserta dengan penganiayaan yang berterusan oleh banyak negara terhadap orang Yahudi, menyebabkan mereka menggabung ramalan-ramalan ini menjadi satu ramalan dan membesar-besarkan kejadian ini yang akhirnya akan membebaskan mereka daripada penganiayaan dan membuka laluan kepada mereka untuk menakluki semua negara, dan menjadikan diri mereka sebagai pelindung kerajaan Tuhan. 
Kerana ini, apabila kita membaca Kitab Injil (Gospel) Barnabas, kita dapati bahawa apabila orang Yahudi bertanya Nabi Isa (a.s) sama ada beliau adalah “si messiah”, beliau menjawab bahawa beliau bukan “si messiah” yang mereka harapkan.  "Jangan kamu menyangka bahwa aku datang untuk membawa damai di atas bumi; aku datang bukan untuk membawa damai, melainkan pedang.  Sebab aku datang untuk memisahkan orang dari ayahnya, anak perempuan dari ibunya, menantu perempuan dari ibu mertuanya.” --Matthew 10:34-35 
Ini ialah kerana beliau faham akan soalan mereka.  Mereka tidak bertanyakan mengenai pangkatnya, tetapi, mereka ingin tahu sama ada beliau adalah orang yang akhirnya akan menepati kesemua ramalan mereka tentang kepimpinan, kuasa dan keagungan yang telah mereka nantikan berkurun-kurun lamanya.  Atas sebab ini, beliau memberitahu mereka bahawa beliau bukan “si messiah”, tetapi “Messiah” yang mereka nantikan akan datang pada kemudian hari.  Beliau merujuk kepada “Messiah yang Kedua” dalam ramalan-ramalan mereka.  (Orang Yahudi berharap bahawa tiga ramalan mereka akan ditepati.) 
Lawrence Schiffman berkata demikian mengenai Pesher Habakkuk:  “Ia (Pesher Habakkuk) menggambarkan pertarungan di antara Guru Pembawa Kenenaran dan penentang-penentangnya – Manusia Pendusta dan Paderi Zalim.  Pendusta digambarkan sebagai mengetuai sebuah masyarakat.  Perbalahan di antara Guru dan Pendusta kelihatan seperti  berdasarkan terjemahan agama dan undang-undang.  Paderi Zalim dikatakan memulakan pemerintahannya dalam kebenaran tetapi kemudiannya meninggalkan kebenaran.  Dia menganiaya Guru, bersemuka dengan Guru pada hari yang paling suci, Hari Penebusan.” (Menuntut Kembali Skrol Laut Mati, Lawrence H Schiffman, muka surat 228). 
Ramalan ini bersambung dalam Pesher Psalms (Kitab Zabur): 
“Teks ini juga menyebut tentang para pelakon utama: Guru Pembawa Kebenaran; Paderi Zalim; dan Manusia Pendusta.  Paderi Zalim menganiaya Guru dan cuba untuk membunuhnya.  Manusia Pendusta menyesatkan orang ramai”.  (Menuntut Kembali Skrol Laut Mati, Lawrence H Schiffman, muka surat 229). 
Apa yang kita mula lihat di sini ialah kisah kedatangan Nabi Isa (a.s), pemilihan Yahuda sebagai salah seorang daripada sahabatnya (apostle), penyelewengan Yahuda daripada kebenaran, bagaimana satu sekta Yahudi menganiaya Nabi Isa (a.s), bagaimana sekta ini cuba menipu orang ramai dan bertentangan pendapat dengan Nabi Isa (a.s) mengenai kebenaran perutusan Tuhan, dan akhirnya, bagaimana mereka merancang dengan Yahuda untuk membunuh Nabi Isa (a.s).  Maka, Guru Pembawa Kebenaran adalah rujukan kepada Nabi Isa (a.s); ‘Messiah’ yang “bersifat keagamaan”.  Paderi Zalim merujuk kepada Yahuda, dan Pendusta adalah pemimpin ‘ketua-ketua paderi dan Farisi’ yang menganiaya Nabi Isa (a.s) dan sering disebut dalam Bible. 
Ramai cendekiawan Kristian telah mengambil peluang menggunakan ramalan-ramalan ini bagi membuktikan kesahihan dakwaan mereka bahawa Nabi Isa (a.s) sememangnya diutus oleh Tuhan dan bahawa orang Yahudi harus mengikuti beliau.  Namun mereka telah dihalang dalam usaha mereka oleh satu bukti yang menakjubkan, yang mana orang Yahudi dapat terus membidas dakwaan mereka, khususnya, dengan mengatakan bahawa Skrol Laut Mati mendakwa bahawa ‘messiah’ yang akan datang akan dianiaya dan Paderi Zalim akan cuba untuk membunuhnya tetapi Paderi Zalim tidak akan berjaya, sebaliknya dialah yang  enerima nasib yang dia inginkan bagi ‘messiah’ ini. 
Maka Yahuda akan cuba untuk membunuh Nabi Isa (a.s). 
“Paderi Zalim memulakan kerjayanya dengan sokongan para sektarian, tetapi dengan cepat beliau sesat dan mula melanggar peraturan untuk menambah kekayaannya.”  (Menuntut Kembali Skrol Laut Mati, Lawrence H Schiffman, muka surat 233)  “Ia berkata: Apa yang hendak kamu berikan kepadaku, supaya aku menyerahkan Dia kepada kamu? Mereka membayar tiga puluh keping wang perak kepadanya”. 
--Matthew 26:15 
“Pelbagai teori telah cuba mengenal pasti Isa sebagai Guru, mendakwa bahawa ia dibunuh oleh Paderi Zalim.  Tetapi, sekiranya ini yang berlaku, teks tersebut tidak akan terus menjelaskan bagaimana Tuhan memberi balasan ke atas paderi itu dengan menyerahkan ia kepada ‘orang-orang yang kejam’. 

Menurut teks ini, guru tersebut terselamat daripada serangan itu.  Seluruh petikan ini adalah terjemahan Kitab Zabur (37:33) di mana teks ini meneruskan,  “Tuhan tidak akan membiarkannya (yang Benar) di tangannya (si Zalim); Ia (Tuhan) tidak akan membiarkannya (yang Benar) di kutuk (oleh yang Zalim),”  (Menuntut Kembali Skrol Laut Mati, Lawrence H Schiffman, muka surat 233-234).  Pengarang kemudiannya menukil Pesher Habakkuk berhubung dengan niat Paderi Zalim dan hukumannya.  Dia berkata:  “Akhirnya, Paderi Zalim dihukum: ‘… disebabkan kelakuan yang melampau batasan terhadap Guru Pembawa Kebenaran, Tuhan menyerahkannya kepada musuhnya agar ia dihapuskan dengan seksaan yang berat’.  … Musuh-musuh Paderi Zalim dikatakan telah menyeksanya….”  (Menuntut Kembali Skrol Laut Mati, Lawrence H Schiffman, muka surat 234). 
Jika kita membaca Kitab Injil Barnabas, kita akan dapati apabila Yahuda tiba dengan tentera Rom untuk mengkhianati Nabi Isa (a.s), Tuhan mengangkat Nabi Isa (a.s) ke langit dan menyelamatkannya.  Tuhan kemudiannya membuat Yahuda menyerupai dan bercakap seperti Nabi Isa (a.s) agar tentera Rom menawannya sambil ia menjerit bahawa ia adalah Yahuda dan bukan Nabi Isa (a.s).  Para sahabat pun kebingungan.  Setelah puas tentera Rom menyeksa Yahuda, ia dibicarakan.  Ia tidak lagi mengharap bahawa ia akan dipercayai.  Jadi apabila ia disoal, “Adakah kamu Isa?” ia menjawab, “Kamu yang kata”..  Dalam lain perkataan, “engkau tidak akan percayakan aku jika aku berkata sebaliknya, maka buat apa aku lawan”.  Tentera Rom mengejeknya, menendangnya, meludahinya, menghinanya dan menyeksanya.  Akhirnya, mereka menyalibnya.  Tetapi, tidak lama selepas mereka menurunkannya, ia hilang dari kuburnya. 
Kitab Injil Barnabas kemudiannya menceritakan bagaimana Nabi Isa (a.s) kembali kepada para sahabatnya untuk memberitahu mereka bagaimana Tuhan menyelamatkannya daripada orang-orang Yahudi dan Rom dan bagaimana sebaliknya Yahuda ditawan oleh mereka. 
Inilah sebenarnya apa yang Al Qur’an telah katakan selama 1400 tahun: bahawa Nabi Isa (a.s) tidak dibiarkan oleh Tuhan untuk dibunuh oleh pakatan Yahuda dan orang Yahudi, tetapi “diserupakan bagi mereka”. 
“Maka apabila Nabi Isa menyedari akan kekufuran mereka, berkatalah ia: siapakah penolong-penolongku dalam perjalanan kepada Allah (dengan menegakkan ugamanya)?  Penyokong-penyokongnya itu berkata: “Kamilah penolong-penolong (Utusan) Allah.  Kami beriman kepada Allah, dan saksikanlah, wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam yang telah berserah (kepada Allah).  Wahai Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu.  Maka, golongkan kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (kepada keesaanMu dan kebenaran RasulMu).  Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allahsebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.  --Al Qur’an, Al-Imraan(3):52-54 
“Dan disebabkan dakwaan mereka yang mengatakan: Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah.  Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya, tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa).  Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang pembunuhannya; mereka tiada pengetahuan mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.”  --Al Qur’an, An-Nisa’(4):157 
Merujuk kepada manuskrip yang bertajuk ‘Pemerintahan Masyarakat’, ayat 9:11-12, Encik Schiffman berkata: “Teks ini merujuk kepada dua ‘messiah’ yang akan diumumkan oleh seorang nabi eskatologikal dan berdasarkan kepada manuskrip (gua 4) mengenai Pemerintahan Masyarakat, kumpulan penerbit yang pertama mengemukakan alasan bahawa petikan ini telah ditambah kemudiannya dalam sejarah sekta tersebut.  Namun bukti dalam manuskrip ini tidak secukupnya menyokong dokumen ini.  Apa yang dapat kita katakan, konsep dua messiah ini adalah sebahagian daripada manuskrip ‘Pemerintahan Masyarakat’ daripada waktu ia dikarang”.  (Menuntut Kembali Skrol Laut Mati, Lawrence H Schiffman, muka surat 324) 
“Dan tatkala datang kepada mereka (orang Yahudi) sebuah Kitab daripada Allah (Al Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan ke atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan Nabi Muhammad).  Setelah datang kepada mereka apa yang mereka ketahui kebenarannya, mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu. 
--Al Qur’an, Al Baqarah(2):89 
Skrol Laut Mati menyebut tentang banyak lagi ramalan dan persamaan yang begitu menakjubkan dengan pengajaran Al Qur’an dan agama Islam.  Banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang Skrol Laut Mati ini, dan pengesahannya terhadap Al Qur’an dan misi Nabi Muhammad s.a.w.  Ini akan diperkatakan dalam artikel pada masa depan, Insya Allah. 
Misheal Al-Kadhi 



Nota Akhir 
Skrol Laut Mati merupakan topik yang telah menarik minat yang mendalam selama hampir lima puluh tahun.  Hari ini, para sarjana akur akan peri pentingnya skrol-skrol ini tetapi tidak bersetuju mengenai siapa yang menghasilkannya.  Mereka berdebat tentang petikan-petikan khusus dari skrol-skrol individu dan masih menilai kesannya ke atas dasar-dasar ugama Yahudi dan Kritian.  Bagi orang ramai di merata dunia, skrol-skrol ini mempunyai aura yang menarik minat dan perasaan hormat yang disegarkan kembali berkala oleh wartawan-wartawan yang melaporkan tentang percanggahan pendapat di kalangan para sarjana terkemuka, dan juga tabloid-tabloid yang mendakwa bahawa skrol-skrol tersebut boleh meramal tentang masa depan atau memberi jawapan kepada misteri-misteri kehidupan.

No comments:

Post a Comment