Lelaki
India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang
tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih.
Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa
ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari
sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah
habis waktu pejabat.
Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islamsedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.
Biarpun
dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah
asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia
juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan
tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi
ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar
bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.
Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan
segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap
Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang
kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang
mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka
sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."
Mendengar
kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah
menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan
Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan
kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?
Bahkan,
sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh
orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang
pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan
itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap
kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.
Rasa
tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki
India itu tekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat
dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama
mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh
perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi
ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.
Lelaki
itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak
peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari
jalan bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan
memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai.
Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank
tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah
rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan
usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat,
seminggu sekali.
Ketika
sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di
hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila
sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din
mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya
menjadi panas.
Lelaki
itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan
Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang
betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum
Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah
beberapa bulan berlalu.
Namun,
tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi.
Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa
bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang
disampaikan oleh ulama tersebut.
Setelah
tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas
itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama
tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara
penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam
bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.
Sebelum
ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam
dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati
lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya
masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada
malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi
untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.
Akhirnya
dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din.
Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi
buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.
Pun
demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang
ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan
Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut
dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.
Dan
yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk
mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia
akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham
tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut
kelak.
Selepas
itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah
Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin
lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran
Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan
Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard,
bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din,
semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus
tanpa simpang-siur.
Niat
asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu
sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu
bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih
mendalam.
Suatu
hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan
tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam
soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya
dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu
juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan
kejahatan?
Dan
yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya
amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan
Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana
Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.
Haron
Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan
saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah
seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul,
benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan
tanah tersebut.
"Tuan
kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti
mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain.
Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk
meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan
kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja
untuk orang lain?
"Begitu
jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan
kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain,
contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti,
Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua
amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"
Ternyata
segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas
pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap
hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah
dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa
sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.
Setelah
empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron
Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam.
Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas
itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.
Dalam
satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk
Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan
kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh
mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa
yang dirasakannya.
Haron
Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu
saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam
berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama.
Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton
rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar
mereka berfikir."
"Dan
saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu.
Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas
hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia
menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran
Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.
Ketika
Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid
Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia
mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk
memeluk Islam.
"Seperti
yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan
Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu.
Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan
dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk
berdebat dengan beliau," jelasnya.
Sebenarnya
sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap
agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga
bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang
dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di
sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut
hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan
agama yang dianutinya.
"Sebenarnya,
agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang
satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa
yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang
diajar di dalam kitab.
"Mereka
tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam
Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan
Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa
ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul
sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di
dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya,
termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.
"Tetapi
apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar,
saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar
ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya
sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini.
Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri
lagi.
Kejadian
itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman
yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari
ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.
Jika
dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya,
kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di
atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila
mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu
yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.
"Hari
ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman
mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman
yang saya lalui sebelum ini.
"Ini
adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah
anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat,
sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi
yang bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami
pada petang itu.
Ustaz
Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih
melihat ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat
kita. Sungguh sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen
sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama
kongsi, pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik
minat penonton Islam termasuk bukan Islam kerana kita kehilanagan
ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin, Harun Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? Mengapa?
No comments:
Post a Comment